Tuesday, 20 October 2015

Berat mata memandang, Berat lagi bahu yang memikul

Assalamualaikum w.b.t





Innalillahhiwainnalillahhirojiun.. Darinya kita datang dan kepadaNya jua kita kembali.
Tanggal 14 oktober 2015, remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16, yang ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus tahun lalu, disahkan telah meninggal dunia. Firdaus meninggal dunia selepas diserang sawan tengah hari tadi.Ketika sedang makan tengah hari bersama-sama rakan-rakanya, arwah diserang sawanFirdaus dilaporkan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.





          Penemuan Firdaus pada Jun tahun lalu menggemparkan negara kerana ditemui dalam keadaan menyayat hati di kediaman keluarganya di Taman Semarak, Nilai. 


Memang sangat menyedihkan bila mendengar cerita tentang Muhammad Firdaus Dullah. Remaja malang itu ditemui anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Taman Semarak semasa operasi memburu pendatang asing tanpa izin (Pati). 




Muhammad Firdaus Dullah yang berusia 15 tahun itu, ditemui pihak imigresen kira-kira jam 2 pagi dalam keadaan tidak terurus. Tubuhnya terlalu kurus dan kelihatan seperti mayat hidup, dipercayai akibat kekurangan zat makanan. Lebih menyedihkan, bilik di mana remaja malang itu dikurung penuh dengan sampah, najis dan tanah. 



Baju yang dipakai mangsa juga didapati sudah mereput akibat terlalu lama bercampur dengan sisa air kencing dan najisnya sendiri sepanjang berada di situ. Ibu kepada Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dikurung dan kebuluran di Nilai, ditahan polis malam itu. Pada 17 November lalu, ibu Muhammad Firdaus, Lolanopita Sadi, 41, dihukum penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban kerana mengabai dan meninggalkan anaknya tanpa pengawasan.Wanita berkenaan ditahan reman. Muhammad Firdaus dilaporkan berada dalam keadaan tidak membimbangkan setelah mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS). 



Dia dan ibunya berasal dari Sabah. Ibu bapanya telah bercerai dan ibu yang menjaganya telah putus hubungan dengan bekas suami. Ibu dia menafikan anaknya dikurung dan diabaikan.







Kronologi Kisah Benar Faizal Fazri Othman ( Pengarah Imigresen Negeri Sembilan yang menjumpai Muhammad Firdaus Dullah)

  • Ketika Muhammad Firdaus Dullah dijumpai tubuhnya hanya tinggal tulang. Perutnya langsung tidak berisi.
  • Malah paling menyedihkan Muhammad Firdaus Dullah ditinggalkan di sebuah bilik kosong yang kotor dan berbau busuk.
  • Sehingga kini, saya (Faizal Fazri Othman masih gagal membendung rasa marah. Kecewa dan segala macam perasaan timbul setiap kali terkenang adik Muhammad Firdaus Dullah. Saya tidak sanggup memikirkan seorang anak kurang upaya (OKU) dibiarkan dalam keadaan sebegitu rupa.
  • Semuanya bermula selepas menerima maklumat daripada jawatankuasa rumah pangsa Taman Semarak Nilai berhubung lambakan warga asing yang tinggal di situ.
  • Jadi saya melakukan operasi dan rumah Muhammad Firdaus Dullah merupakan antara rumah yang menjadi sasaran.
  • Ketika menghampiri rumah terbabit kami mendapati hanya pintu besi yang berkunci.
  • Dari luar saya tolak pintu rumah. Ketika itu hati saya dapat rasa ada orang yang sedang bersembunyi di dalam kerana lampu tidak ditutup.
  • Saya cuba memanggil beberapa kali namun tidak disahut sesiapa. Jadi saya arahkan pintu besi rumah terbabit dipecahkan.
  • Pemeriksaan dilakukan di setiap sudut rumah. Salah sebuah pintu bilik di rumah itu tertutup seolah-olah ada seseorang bersembunyi di dalam. Ketika itu jam sekitar 2.30 pagi.
  • Namun ketika pintu bilik itu ditolak saya terus beristighfar panjang. Saya terlihat satu susuk kecil. Saya seperti melihat rangka bernyawa.
  • Muhammad Firdaus Dullah sedang baring beralaskan lantai. Sedangkan lantai itu bergelumang dengan najis dan sisa makanan.
  • Ada sebuah kerusi roda dan sebiji bantal ditinggalkan. Muhammad Firdaus Dullah yang pada awalnya baring, bangun dan merenung saya. Saya lihat ada najis keras melekat di rambutnya. Air mata saya mula bergenang. Hampir menitis.
  • Tiada perasaan jijik. Bau busuk dan hamis pula seperti hilang tiba-tiba. Malah seolah bau wangi syurga mula meresap hidung.
  • Apa yang timbul hanya rasa belas. Saya hampiri tubuh kurus itu. Saya usap kepalanya. Hati saya terlalu sebak.
  • Melihat keadaannya yang kurus kering, saya percaya dia sudah lama tidak menyentuh makanan.
  • Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana perasaan menjadi orang pertama melihat Muhammad Firdaus Dullah?
  • Jawapan saya, hanya mereka yang tidak mempunyai hati sahaja tidak sedih melihat Firdaus.
  • Sebab itu saya terus mengusap kepala dia kerana saya betul-betul tidak sangka dia yang tidak berupaya dibiarkan hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan.
  • Tapi sampai sekarang pun saya masih berfikir kenapa saya digerakkan ke situ?
  • Syukur ALLAH gerakkan hati ini ke sana. Seandainya tidak, mungkin sehingga hari ini tiada sesiapa pun tahu derita hidup remaja OKU bernama Muhammad Firdaus Dullah.
  • Mungkin Muhammad Firdaus Dullah akan terus menderita seorang diri. Syukur kepada ALLAH semakin bertambah.
  • Saya gembira lihat perubahan Muhammad Firdaus Dullah. Keadaannya jauh lebih baik berbanding ketika mula dijumpai. Saya bersyukur dia kini dapat segala yang diperlukan. Cukuplah derita yang dia tanggung selama ini…
  • Ketika ini bukan masa untuk tuding jari tetapi penemuan itu perlu dijadikan pengajaran pelbagai pihak agar lebih menghargai anak-anak sendiri termasuk juga mereka yang bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU).

No comments:

Post a Comment