Monday, 26 October 2015

Assalamualaikum w.b.t



           Sejak akhir-akhir ini, masalah sosial tentang remaja menjadi-jadi. Pada minggu lepas, pergaduhan antara perempuan untuk merebut seorang lelaki. Di mana letaknya maruah seorang manusia apabila melakukan perkara sebegitu. Jauh berbeza tentang tingkah laku orang zaman dahulu dengan zaman sekarang. Pada minggi ini pula, kita digemprkan dengan kes remaja perempuan dibunuh dengan kejam oleh seorang lelaki. Tidak lain tidak bukan lagi iaitu masalah dalam percintaan. Bercinta itu boleh, tetapi berpadalah jangan sampai menyeksa diri. Apabila nasi sudah menjadi bubur, tidak dapat berkata apa-apa lagi.


          
           Pekan kecil Bandar Baru Teluk Kumbar di Balik Pulau Pulau Pinang gempar awal malam Ahad selepas seorang remaja perempuan Intan Suraya Mawardi 17 tahun ditemui dibunuh dengan leher dikelar. Mayat gadis malang itu ditemui ayahnya yang mulanya menyangka anak sulung beliau itu sedang tidur di sebuah bilik di rumah mereka. Panggilan tidak bersahut menyebabkan ayahnya masuk ke bilik dan mendapati anaknya sedang berselimut dan lehernya dikelar. Polis juga menjumpai bantal peluk yang terdapat kesan darah di ruang tamu rumah berkenaan.

    





        Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki awal pagi Isnin, yang dipercayai membunuh tersebut. Suspek berusia 20 tahun ditahan di kawasan Bayan Lepas dan polis turut menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa. Lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Bayan Lepas, mempunyai kunci pendua rumah mangsa dan dipercayai masuk ke dalam rumah itu kira-kira 6 pagi semalam.


        Ketika itu, pelajar perempuan berkenaan tinggal bersendirian kerana ibu bapanya pulang ke rumah neneknya di Bayan Lepas. Polis sedang siasat bagaimana lelaki itu mendapatkan kunci pendua rumah berkenaan. Mayat Intan Suraya Mawardi, pelajar sebuah sekolah menengah di Teluk Kumbar ditemui dalam keadaan terbaring dan berselimut di atas katil oleh bapanya, yang pulang ke rumah pada 7.30 malam.


          Lelaki itu yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, ditahan di Teluk Kumbar kira-kira dua jam selepas penemuan mayat pelajar itu dan mengaku telah membunuh mangsa. Lelaki itu juga menunjukkan kepada polis tempat dia membuang pisau yang didakwa digunakan untuk membunuh mangsa, iaitu dalam sebuah lubang di kawasan pencawang elektrik sekolah tempat dia bekerja. 


        Polis menemui dua bilah pisau yang dibungkus dalam anak tudung putih yang terdapat kesan darah dipercayai milik mangsa dan siasatan mendapati senjata itu diambil di rumah mangsa. Polis turut menemui semula telefon bimbit mangsa yang dibuang di kawasan tempat kerja suspek itu. Siasatan mendapati lelaki itu, yang mengenali mangsa sejak awal tahun ini, masuk ke dalam rumah pelajar itu untuk membunuh teman wanitanya kerana marah dan cemburu. Mangsa dipercayai dibunuh antara tujuh dan lapan jam sebelum mayatnya ditemui. Ujian air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan dia kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan. 


Tuesday, 20 October 2015

STOP SMOKING START VAPING

Assalamualaikum w.b.t




Pepatah yang berbunyi 'Stop smoking start vaping' adalah menjadi trend di negara kita pada masa kini. Tambahan lagi, baru-baru ini, anak perempuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menjadi perhatian selepas memuat naik gambar rokok elektronik atau vape di laman Instagram miliknya. Beliau memuat naik gambar tersebut dengan kapsyen: "Jangan pernah tinggalkan rumah tanpa dua mesin yang genius ini" dan ia menerima pelbagai reaksi daripada pengguna di media sosial itu.



           Tabiat menghisap rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape kini sudah menjadi satu trend terutamanya kepada perokok sebagai alternatif untuk berhenti merokok yang menggunakan tembakau atau sekadar suka-suka. Jika dilihat dari sudut kebaikannya, ia dikatakan dapat membantu menjimatkan duit berbanding menggunakan rokok tembakau selain baunya tidak busuk jika dihisap ditempat awam.

          

          Namun keburukan vape ini ialah apabila ada mereka yang tidak merokok menjadikanya sebagai satu tabiat baru dan apa yang lebih tidak manis ianya digunakan oleh golongan wanita dan remaja bawah umur. Jika dari segi masalah moral, sama juga seperti merokok, etika perundangannya sama juga seperti rokok di mana ia tidak boleh digunakan oleh remaja berumur 18 tahun kebawah. Tapi apapun yang sebaik-baiknya ialah tidak mengamalkan kedua-dua tabiat ini iaitu tidak merokok dan juga tidak menghisap vape.


          Jadi, untuk menggalakkan hal ini perlulah ada kempen atau contoh ikutan daripada mana-mana tokoh atau orang yang diangkat sebagai ikon. Tetapi yang menyedihkan ketika ini ialah seorang yang dianggkat sebagai 'Ikon Belia' yang sepatutnya memberi contoh yang baik kepada masyarakat sebaliknya mempromosi perkara-perkara yang tidak sepatutnya ini.











       









Ramai orang kata Vape ini permainan orang kaya?

Sejak akhir-akhir ini penerimaan rokok elektronik kepada masyarakat semakin meningkat dan bertambah meriah, dan banyak juga rokok elektronik yang dijual di pasaran, Up-town dengan harga yang murah dalam pelbagai pilihan. 

Namun perlu diambil kira dari segi cara pengambilan vaping dan tujuan untuk vaping. Bagi saya kalau untuk mengikuti trend yang ada pada masa kini baik tak payah vape,ini akan menjadi kepada pembaziran wang ringgit anda sahaja..

kalau anda berniat untuk berhenti dari menghisap rokok dan sudah mencuba pelbagai cara namun tidak berkesan, cubalah kepada rokok elektronik mungkin anda akan kurangkan pengambilan rokok yang membahayakan kesihatan itu dan mugnkin juga anda akan terus berhenti merokok.

Vaping ini banyak juga kelebihan sosial yang kita perolehi contohnya dapat kenalan baru dan bertukar-tukar pendapat dari Vape Meet yang diadakan ,orang sekeliling kita tidak menjauhi kita dengan asap rokok yang busuk dan kita mengeluarkan vape yang wangi dari pelbagai perisa.




          Isu e cigarets merupakan antara isu yang hangat diperbincangkan semasa kini. Dari sudut halal haram produk ini dari pandangan ilmuan islam sehingga kepada kesan jangka panjang penggunaan vape ini masih di dalam proses kajian.



Hasil kesimpulan beberapa kajian terkini ada menyebut penggunaan vape ini adalah "amat tipis" untuk TIDAK membawa apa apa kesan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang. Cuba kita bayangkan, cecair nikotin dengan pelbagai bahan kimia tambahan lain, diserap ke paru paru untuk jangka masa panjang, sudah tentu, sedikit atau banyak, ada kesan yang negatif yang akan memberi kesan kepada tubuh badan suatu hari nanti.


Mari kita sama-sama melihat dan mengkaji tentang kebaikan dan keburukan vape:
Kelebihan Electronic-Cigarette

1. Menghindar / kurangkan kesan sampingan seperti anda menghisap ROKOK sebenar yang megandungi lebih 4000 jenis bahan kimia!

2. Rokok elektronik ( Electronic Cigarette ) tidak mengaratkan gigi dan menghitamkan bibir..
3. Rokok elektronik ( E-Cigarette ) mengandungi nikotin yang tidak membahayakan kesihatan kerana ianya tidak bercampur dengan bahan-bahan kimia seperti CARCINOGENS, TEMBAKAU, TAR, KARBON MONOKSIDA, SISA ABU, BAU BUSUK.
4. Tiada kesan terhadap Smoke Detector (pengesan asap) oleh kerana E-Cigarette hanya mengeluarkan wap air yang seakan-akan asap sebenar.
5. Variasi perasa (dunhill, marlboro dll ) seperti ROKOK sebenar.
6. MENJIMATKAN wang sehinga 80% sebulan.
7. Mengurangkan atau menghentikan terus kadar pengambilan ROKOK sebenar.
8. Anda juga boleh menikmatinya ketika memandu (tak perlu buka tingkap).
9. Tiada masalah menghisapnya di runagan berpenghawa dingin.
10. Menghisap di tempat awam atau tempat larangan merokok juga tidak menjadi masalah.
11. Baju tidak lagi berbau ROKOK.
12. Bau mulut tidak lagi busuk.
13. Electronic-Cigarette (rokok elektronik) juga sesuai dibuat cenderahati untuk orang yang tersayang.
14. Tidak perlu risau jika anak-anak kecil menghidu wap dari rokok elektronik kerana ianya selamat dan tidak berbahaya.
15. Bahan yang terdapat didalam rokok elektronik tidak boleh menyebabkan kanser atau penyakit-penyakit yang berat.


Kekurangan Electronic-Cigarette

1. Semasa menggunakan rokok elektronik, pengguna tidak akan tahu berapa banyak wap nikotin mereka telah sedut yang agak berbahaya. Ini kerana jika kita menghisap rokok sebenar kita akan berhenti jika abu rokok sudah habis, ini kerana rokok elektronik apabila di "charge" penuh akan bertahan selama 8 jam tanpa henti.
2. Terlalu banyak kita sedut boleh menyebabkan kesan sampingan nikotin yang berlebihan dalam badan.
3. Tidak sesuai untuk penguna yang alah pada propelyne glycol (PG).Tanda alahan ialah bila sedut dengan liquid PG base gusi bengkak, gigi jadi sensitif dan lain-lain.


          Menurut kajian, 1.4% wanita dewasa di Malaysia merupakan perokok berbanding 38% di kalangan lelaki. Jika dahulu, wanita, khususnya wanita melayu amat berselindung dan berhati hati untuk menunjukkan sebagai imej "perokok". Tetapi dengan peningkatan populariti Vape sebagai satu trend terkini dan "cool", kemungkinan lebih lebih ramai wanita akan terjebak dengan aktiviti tidak sihat tersebut. Kini bukan sahaja wanita, malah kanak kanak turut terdedah untuk mencuba dan seterusnya terus di belenggu oleh bahana perangkap Nikotin yang mempunyai fungsi dan kesan ketagihan yang sama seperti dadah yang lain.

Pendapat Pakar
Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :

-Jumlah nicotine yang dalam e-rokok ini berbeza bergantung kenyataan tertulis dalam labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.


-Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nicotine dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.

-Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nicotine. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok”.

Hukum
Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka didapati bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah haram. Ini kerana seperti yang sedia maklum ‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan dinyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:

-Qiyas kepada rokok sebenar

-Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
-Pembaziran
-Meniru budaya yang bukan Islam
-Dilihat tidak bermaruah

Penutup
Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok berhenti daripada merokok. Justeru, ia menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan tobacco dan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh memabukkan dan memberi mudarat kepada kesihatan manusia. Berdasarkan isu merokok, kami juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vape berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vape, kita masukkan ke tabung masjid, menyumbang kepada anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.










Berat mata memandang, Berat lagi bahu yang memikul

Assalamualaikum w.b.t





Innalillahhiwainnalillahhirojiun.. Darinya kita datang dan kepadaNya jua kita kembali.
Tanggal 14 oktober 2015, remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16, yang ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus tahun lalu, disahkan telah meninggal dunia. Firdaus meninggal dunia selepas diserang sawan tengah hari tadi.Ketika sedang makan tengah hari bersama-sama rakan-rakanya, arwah diserang sawanFirdaus dilaporkan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.





          Penemuan Firdaus pada Jun tahun lalu menggemparkan negara kerana ditemui dalam keadaan menyayat hati di kediaman keluarganya di Taman Semarak, Nilai. 


Memang sangat menyedihkan bila mendengar cerita tentang Muhammad Firdaus Dullah. Remaja malang itu ditemui anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Taman Semarak semasa operasi memburu pendatang asing tanpa izin (Pati). 




Muhammad Firdaus Dullah yang berusia 15 tahun itu, ditemui pihak imigresen kira-kira jam 2 pagi dalam keadaan tidak terurus. Tubuhnya terlalu kurus dan kelihatan seperti mayat hidup, dipercayai akibat kekurangan zat makanan. Lebih menyedihkan, bilik di mana remaja malang itu dikurung penuh dengan sampah, najis dan tanah. 



Baju yang dipakai mangsa juga didapati sudah mereput akibat terlalu lama bercampur dengan sisa air kencing dan najisnya sendiri sepanjang berada di situ. Ibu kepada Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dikurung dan kebuluran di Nilai, ditahan polis malam itu. Pada 17 November lalu, ibu Muhammad Firdaus, Lolanopita Sadi, 41, dihukum penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban kerana mengabai dan meninggalkan anaknya tanpa pengawasan.Wanita berkenaan ditahan reman. Muhammad Firdaus dilaporkan berada dalam keadaan tidak membimbangkan setelah mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS). 



Dia dan ibunya berasal dari Sabah. Ibu bapanya telah bercerai dan ibu yang menjaganya telah putus hubungan dengan bekas suami. Ibu dia menafikan anaknya dikurung dan diabaikan.







Kronologi Kisah Benar Faizal Fazri Othman ( Pengarah Imigresen Negeri Sembilan yang menjumpai Muhammad Firdaus Dullah)

  • Ketika Muhammad Firdaus Dullah dijumpai tubuhnya hanya tinggal tulang. Perutnya langsung tidak berisi.
  • Malah paling menyedihkan Muhammad Firdaus Dullah ditinggalkan di sebuah bilik kosong yang kotor dan berbau busuk.
  • Sehingga kini, saya (Faizal Fazri Othman masih gagal membendung rasa marah. Kecewa dan segala macam perasaan timbul setiap kali terkenang adik Muhammad Firdaus Dullah. Saya tidak sanggup memikirkan seorang anak kurang upaya (OKU) dibiarkan dalam keadaan sebegitu rupa.
  • Semuanya bermula selepas menerima maklumat daripada jawatankuasa rumah pangsa Taman Semarak Nilai berhubung lambakan warga asing yang tinggal di situ.
  • Jadi saya melakukan operasi dan rumah Muhammad Firdaus Dullah merupakan antara rumah yang menjadi sasaran.
  • Ketika menghampiri rumah terbabit kami mendapati hanya pintu besi yang berkunci.
  • Dari luar saya tolak pintu rumah. Ketika itu hati saya dapat rasa ada orang yang sedang bersembunyi di dalam kerana lampu tidak ditutup.
  • Saya cuba memanggil beberapa kali namun tidak disahut sesiapa. Jadi saya arahkan pintu besi rumah terbabit dipecahkan.
  • Pemeriksaan dilakukan di setiap sudut rumah. Salah sebuah pintu bilik di rumah itu tertutup seolah-olah ada seseorang bersembunyi di dalam. Ketika itu jam sekitar 2.30 pagi.
  • Namun ketika pintu bilik itu ditolak saya terus beristighfar panjang. Saya terlihat satu susuk kecil. Saya seperti melihat rangka bernyawa.
  • Muhammad Firdaus Dullah sedang baring beralaskan lantai. Sedangkan lantai itu bergelumang dengan najis dan sisa makanan.
  • Ada sebuah kerusi roda dan sebiji bantal ditinggalkan. Muhammad Firdaus Dullah yang pada awalnya baring, bangun dan merenung saya. Saya lihat ada najis keras melekat di rambutnya. Air mata saya mula bergenang. Hampir menitis.
  • Tiada perasaan jijik. Bau busuk dan hamis pula seperti hilang tiba-tiba. Malah seolah bau wangi syurga mula meresap hidung.
  • Apa yang timbul hanya rasa belas. Saya hampiri tubuh kurus itu. Saya usap kepalanya. Hati saya terlalu sebak.
  • Melihat keadaannya yang kurus kering, saya percaya dia sudah lama tidak menyentuh makanan.
  • Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana perasaan menjadi orang pertama melihat Muhammad Firdaus Dullah?
  • Jawapan saya, hanya mereka yang tidak mempunyai hati sahaja tidak sedih melihat Firdaus.
  • Sebab itu saya terus mengusap kepala dia kerana saya betul-betul tidak sangka dia yang tidak berupaya dibiarkan hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan.
  • Tapi sampai sekarang pun saya masih berfikir kenapa saya digerakkan ke situ?
  • Syukur ALLAH gerakkan hati ini ke sana. Seandainya tidak, mungkin sehingga hari ini tiada sesiapa pun tahu derita hidup remaja OKU bernama Muhammad Firdaus Dullah.
  • Mungkin Muhammad Firdaus Dullah akan terus menderita seorang diri. Syukur kepada ALLAH semakin bertambah.
  • Saya gembira lihat perubahan Muhammad Firdaus Dullah. Keadaannya jauh lebih baik berbanding ketika mula dijumpai. Saya bersyukur dia kini dapat segala yang diperlukan. Cukuplah derita yang dia tanggung selama ini…
  • Ketika ini bukan masa untuk tuding jari tetapi penemuan itu perlu dijadikan pengajaran pelbagai pihak agar lebih menghargai anak-anak sendiri termasuk juga mereka yang bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU).

Saturday, 3 October 2015


Assalamualaikum w.b.t

Sejak akhir-akhir ini negara kita dikejutkan dengan isu jerebu yang semakin teruk. Hal ini menyebabkan langit kelihatan mendung,jarak penglihatan jauh,pernafasan menjadi sesak dan sebagainya.Terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya jerebu,antaranya pembakaran hutan,pembebasan asap oleh kilang-kilang, pengeluaran gas oleh kenderaan serta pembakaran secara terbuka.

Banyak sekolah yang telah ditutup buat semntara waktu disebabkan Indeks Pencemaran Udara(IPU) yang tinggi. Hal ini menyebabkan para pelajar tidak dapat ke sekolah kerana isu jerebu ini. Oleh itu, terdetik dihati kecil saya ini untuk menulis tentang isu hangat yang menjadi bualan orang ramai memandangkan keadaan semakin parah. Disini saya akan kupaskan serba-sedikit tentang jerebu dan langkah-langkah untuk mencegah diri kita daripada terkena kesan yang negatif.



Apa itu jerebu ? 

Jerebu adalah keadaan di mana kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel di atmosfera yang akan mengurangkan jarak penglihatan. Ia disebabkan oleh campuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.

Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Zarah-zarah kecil ini berkumpul di paras rendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan dan mungkin menyebabkan masalah pernafasan. Jerebu tebal juga dikenali sebagai asbut (sejenis pencemaran udara berat). 
Jerebu juga terhasil daripada tindak balas kimia yang kompleks yang berlaku seperti gas sulfur dioksida yang dikeluarkan semasa pembakaran ditukarkan kepada titisan seni asid sulfurik. Reaksi ini dipertingkatkan dengan kehadiran cahaya matahari, kelembapan tinggi, dan keheningan udara.
























Indeks Pencemaran Udara

Indeks Pencemaran Udara (IPU) merupakan salah satu cara untuk mengetahui tahap teruknya jerebu. Ia melibatkan pengukuran kuantiti zarah halus merbahaya seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. Pengelasan tahap kualiti udara mengikut IPU adalah seperti berikut:

Nilai IPU      Kualiti udara
0 - 50
Baik
51 - 100
Sederhana
101 - 200
Tidak sihat
201 - 300
Sangat tidak sihat
301 - 400
Berbahaya
401 - 500
Sangat berbahaya
Lebih 501
Darurat


Punca-punca Jerebu

Menurut kajian, Kuala Lumpur telah mencatat Indeks Pencemaran Udara(IPU) yang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain. Pedih  mata, tekak kering, dan hidung terasa ketat, pernahkah anda mengalami gejala-gejala tersebut sejak belakangan ini? Sekirnya anda merasai salah satu situasi di atas, bersegeralah mengambil langkah kanan kerana anda mungkin merupakan mangsa kepada pencemaran udara iaitu jerebu.

Sepertimana yang dikatakan, keadaan cuaca yang agak ‘kasar’ pada ketika ini seakan dipandang sebelah mata sahaja, di mana isu alam sekitar biasanya jarang dilihat sebagai isu utama masyarakat.
Sebenarnya, masalah jerebu berpunca daripada kegiatan manusia sendiri iaitu pertamanya melalui pambakaran hutan secara besar-besaran tanpa menimbangkan kesan terhadap alam sekitar.
Antara punca yang lain adalah tindakan  masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan sehingga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap atau bahan buangan sama ada individu ataupun pemilik kilang. Contohnya, sesetengah anggota masyarakat melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula.

Tambahan pula,  peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas.  Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.


Masalah kesihatan akibat jerebu

Jerebu boleh menyebabkan masalah kesihatan terutamanya kepada:
  • Kanak-kanak
  • Orang tua
  • Pesakit lelah dan penyakit pernafasan lain
  • Perokok
Antara gejala akibat pendedahan kepada jerebu ialah:
  • Iritasi kerongkong dan batuk-batuk
  • Kesukaran bernafas atau hidung tersumbat
  • Iritasi di mata serta mata yang merah
  • Kulit terasa gatal
Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengelak masalah-masalah akibat jerebu ialah:

  • Jangan keluar rumah serta tutup semua pintu dan tingkap
  • Pakai topeng muka yang mempunyai penuras jika terpaksa keluar
  • Kurangkan pengunaan kenderaan terutama motosikal
  • Sentiasa basuh bahagian yang terdedah; mandi
  • Selalu minum air
  • Sediakan ubat jika anda mempunyai penyakit pernafasan
  • Makan madu 2 sudu setiap hari, guna sudu plastik


Kesan Jerebu

IMPLIKASI KESIHATAN
Kesan jangka pendek yang ketara ialah implikasi kesihatan.Jerebu mengandungi gas-gas yang merbahaya seperti nitrogen dioksida,sulfur dioksida,dan karbon dioksida.Gas-gas ini dan zarah terampai akan memasuki badan kita melalui pernafasan.Situasi ini akan menyebabkan mangsa diserang penyakit lelah,asma,sakit tekak, selesema,pedih mata,bronkitis dan sebagainya.Dalam kes yang lebih teruk,bendasing akan merosakkan tisu paru-paru,menghalang fungsi sel hemoglobin,dan seterusnya merosakkan sistem pernafasan.Selain itu,bahan-bahan seperti plumbum boleh menyebabkan kromosom mengalami mutasi.Di samping itu,zarah pencemar boleh menjejaskan kecerdasan otak terutamanya kanak-kanak yang sedang membesar.Bahan hidrokarbon yang dibawa oleh jerebu boleh mencetuskan kanser dan menyebabkan kerosakan otak.


EKONOMI NEGARA TERJEJAS

Salah satu kesan jangka panjang akibat jerebu ialah ekonomi negara akan terjejas.Kesan ini dapat dilihat apabila pembatalan penerbangan kapal terbang terpaksa dibuat akibat kejadian jerebu.Salah satu syarikat penerbangan yang mengalami kerugian besar akibat pembatalan penerbangan ialah Syarikat Penerbangan Malaysia(MAS).Selain itu,kilang perindustrian,kuari,dan sektor pembinaan terpaksa menghentikan operasi.Tambahan pula,industri pelancongan juga turut terkena tempias akibat jerebu apabila pelancong membatalkan lawatan ke Malaysia.Di samping itu,pekerja-pekerja yang yang bekerja di luar pejabat mungkin terpaksa mengambil cuti demi kebaikan kesihatan mereka.Para nelayan juga tidak keluar kelaut kerana keselamatan dan kesihatan tidak terjamin.Penjaja-penjaja di tepi jalan juga tidak dapat menjalankan aktiviti perniaagaan mereka akibat jerebu.Hal ini mengakibatkan sumber rezeki dan pendapatan terjejas serta pengusaha mengalami kerugian besar.

HASIL DAN KUALITI PERTANIAN TERJEJAS

Jerebu juga telah mengakibatkan hasil dan kualiti sektor pertanian terjejas.Hal ini berlaku apabila jerebu menghalang kepadatan cahaya rendah yang diperlukan oleh tanaman untuk membesar.Kadar pancaran cahaya yang rendah mengurangkan proses fotosintesis tanaman.Hal ini menyebabkan tempoh matang tanaman menjadi lebih panjang.Selain itu,aktiviti serangga pemangsa juga terjejas seterusnya menyebabkan letusan populasi makhluk perosak akan berlaku.Justeru,pendebungaan juga akan terganggu.Gejala seumpama ini telah menyebabkan hasil pertanian negara terjejas sebanyak 30 peratus.Lantaran itu,hasil dan kualiti tanaman akan merosot.



Langkah-langkah mengatasi masalah jerebu

MENDIDIK MASYARAKAT
Langkah yang paling efektif bagi mengatasi masalah jerebu ialah dengan mendidik masyarakat.Media massa harus memainkan peranan menyiarkan kesan-kesan yang timbul akibat jerebu.Melalui langkah ini,masyarakat akan lebih memahami dan menyedari tentang kesan-kesan gejala tersebut.Oleh itu,masyarakat akan lebih bertanggungjawab dan menitikberatkan setiap kegiatan yang dilakukan oleh mereka misalnya tidak membakar sampah secara terbuka.Seruan kerajaan untuk menghijaukan alam,menggunakan petrol tanpa plumbum,dan sebagainya juga akan mendapat sambutan dan sokongan daripada masyarakat.Orang ramai juga akan memberikan kerjasama dengan menghubungi atau melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada pihak yang mencetuskan maslah ini.


KERJASAMA ANTARABANGSA
Salah satu langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mengatasi masalah jerebu ialah kerjasama antarabangsa.Kerjasama ini diperlukan untuk memadamkan kebakaran hutan.Kerajaan Indonesia harus mengawal kebakaran hutannya dengan ketat.Selain itu,Indonesia juga harus mementingkan kemajuan bersama negara jiran yang lain.Di samping itu,satu tabung kewangan untuk membeli alatan pemadam api yang canggih boleh diwujudkan dalam kalangan negara ASEAN.Alatan itu boleh dikongsi bersama untuk memadamkan api hutan.Penghantaran tentera,ahli bomba,dan pakar ke Indonesia untuk memadamkan kebakaran hutan merupakan kerjasama yang baik.Negara maju juga perlu membantu dengan menghulurkan bantuan kepakaran dan teknologi memadamkan api.Sikap negara Barat yang berpeluk tubuh menyaksikan kebakaran hutan di Indonesia selama beberapa bulan lamanya perlu dikikis.